All News

LAWATAN TETFUND NIGERIA PERKUKUH KERJASAMA

 

nigeria

Oleh: Siti Fatimah Abdullah

Gambar oleh: Mohd Khairy Mukhtaruddin

UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) menjalin kerjasama strategik menerusi lawatan kerja daripada delegasi Tertiary Education Trust Fund (TETFUND).  

Pada pertemuan kali kedua itu, delegasi   yang diketuai  Pengarah TETFUND, Ar. Erivwo Ebruphio Inene bersama Chief Planning Officer, Sanusi Jaji Sambo, dalam rangka lawatan mereka ke Malaysia selama seminggu.

Ar. Erivwo menyatakan hasrat untuk menghantar lebih ramai pelajar tajaan mereka ke Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai destinasi pendidikan pilihan.

“UUM antara pilihan utama pelajar tajaan TETFUND ke Malaysia dan setakat ini terdapat seramai 66 pelajar menerima biasiswa agensi berkenaan.

“TETFund merupakan agensi kerajaan persekutuan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Nigeria. Optimis dengan keupayaan UUM menjalankan kerjasama selain sedia untuk berkongsi hasil penyelidikan untuk manfaat bersama,” ujarnya ketika mengadakan kunjungan ke Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), baru-baru ini.

Ar. Erivwo turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih di atas layanan pihak UUM dan amat menghargai kepimpinan UUM dalam menyantuni hal ehwal kebajikan dan akademik pelajar tajaan mereka.

Sementara itu, Pengarah CIAC, Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar berkata, beliau mewakili UUM sangat berbesar hati menerima kunjungan delegasi tersebut dalam usaha merapatkan lagi hubungan antara kedua pihak.

Menurutnya, beliau juga mengalu-alukan kerjasama untuk menghantar lebih ramai pelajar mereka ke UUM sekali gus membantu melonjakkan nama UUM di peringkat antarabangsa.