All News

UUM BERKOLABORASI DENGAN 20 UNIVERSITI DI INDONESIA

 

indonesia

Oleh: Siti Fatimah Abdullah

Gambar oleh: CIAC

UUM BERKOLABORASI DENGAN 20 UNIVERSITI DI INDONESIA

UUM ONLINE:  Jakarta, Indonesia, 24 Julai 2022 – Misi Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk mengukuhkan agenda pengantarabangsaan, khususnya selepas pandemik Covid-19 menunjukkan kesan amat memberangsangkan apabila 20 institusi pengajian tinggi di Republik Indonesia menyatakan hasrat untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan universiti ini.

Antara 20 institusi berkenaan ialah Universitas Islam Sultan Agung di Jawa Tengah, Universitas Ahmad Dahlan di Jogjakarta, Universitas Hasanuddin di Sulawesi Selatan, Universitas Mulawarman, Samarinda dan Universitas PGRI Kanjuruhan Malang di Kota Malang.

Turut bekerjasama ialah Asosiasi Penguruan Tinggi Swasta yang mempunyai 4,000 institusi pengajian tinggi swasta yang bernaung di bawahnya, yang akan menghantar lebih ramai staf mereka untuk menyambung pendidikan tinggi di UUM.

Universiti lain ialah Universitas Muhammadiah Jakarta, Universitas Muhammadiah Tangerang, Universiti Negeri Jakarta, Universiti Brawijaya dan Universiti Trisakti. 

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kerjasama yang dipersetujui melibatkan aspek kerjasama penyelidikan, pembangunan program mobiliti pelajar, pertukaran staf bagi kedua-dua universiti, perkongsian pintar fasiliti, penganjuran persidangan seminar secara bersama dan penawaran program di peringkat sarjana muda, sarjana dan Doktor Falsafah.

Beliau berkata, majlis penandatanganan secara besar-besaran itu secara tidak langsung menunjukkan keyakinan institusi pengajian tinggi di negara jiran itu terhadap reputasi universiti keenam negara ini masih utuh malah dialu-alukan kesemua pihak.

Menurutnya, UUM juga akan berkolaborasi dengan 30 universiti lain di Indonesia dalam tempoh terdekat dan pada masa sama beliau berharap menerusi lawatan kerjasama akademik ini akan terus menyambung hubungan dengan pelbagai pihak terutamanya Asosiasi Penguruan Tinggi Swasta.

Selain majlis berkenaan, 150 pelajar menerima surat tawaran untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan pascasiswazah bagi kemasukan semester akan datang.

Turut diadakan Pameran UUM Edufair di Hotel Royal Kuningan, Jakarta yang berlangsung selama sehari yang dikendalikan bersama ejen-ejen di Indonesia.

Selain mengukuhkan agenda pengantarabangsaan universiti, inisiatif tersebut diambil bagi mempromosikan UUM melalui jaringan alumni yang berada di Indonesia.

Seramai 80 alumni termasuk Mantan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia, Dr. Marzuki Alie dan Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia, PT Borneo Alumnina Indonesia, Fredia Yuzirwan hadir ke majlis tersebut.