All News

ASB DAN INCEIF UNIVERSITY BERMINAT PERKUKUH AGENDA AKREDITASI

 

asb dan inceif

Oleh: Prof. Madya Dr. Nor Asma Lode
Gambar oleh: Unit Akreditasi AACSB

ASB DAN INCEIF UNIVERSITY BERMINAT PERKUKUH AGENDA AKREDITASI

UUM ONLINE: Kuala Lumpur - Unit Akreditasi AACSB, Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) telah mengadakan perbincangan bersama Asian School of Business (ASB), baru-baru ini.

ASB merupakan kerjasama Bank Negara Malaysia dan MIT Sloan School of Management, Amerika Syarikat yang menawarkan kursus berkaitan pentadbiran perniagaan dalam bentuk program MBA sepenuh masa selama 20 bulan dan kelas pendidikan eksekutif untuk pelajar dari Malaysia dan seluruh dunia.

Perbincangan melibatkan delegasi UUM diketuai Timbalan Pengarah Unit Akreditasi AACSB, CIAC, Prof. Madya Dr. Faizuniah Pangil; Pengurus Unit Akreditasi AACSB dan EPAS, Prof. Madya Dr. Nor Asma Lode dan Pengurus AACSB, Prof. Madya Dr. Norani Nordin serta AACSB Taskforce, Prof. Dr. Wan Nordin Wan Hussin.

Manakala ASB diwakili Ketua Pegawai Operasi, Kristina Rai; Pengarah Jaminan Kualiti Dalaman, Woon Hooi Shyen dan Pendaftar, Zainon Mustaffa.

Pertemuan dua hala itu membincangkan tentang keperluan konsultasi yang diperlukan oleh ASB daripada Unit Akreditasi AACSB, CIAC, selain berkaitan promosi dan kesedaran terhadap AACSB serta penambahbaikan sistem ‘Assurance of Learning’ (AoL) dalam kalangan pensyarah ASB yang mengajar program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Master of Central Banking (MCB).

Selain ASB, INCEIF University yang ditubuhkan oleh Bank Negara dengan menawarkan program pengajian pasca siswazah dalam kewangan Islam juga berminat untuk mendapatkan khidmat konsultasi berkaitan sistem AoL dari Unit AACSB.

Pertemuan ringkas bersama Pengarah Pengurusan Kualiti, INCEIF University, Mohktar Benhadria telah membuahkan hasil di mana pihak ASB dan INCEIF bersetuju untuk bekerjasama dalam proses mendapatkan perkhidmatan konsultasi daripada UUM.