All News

100 PELAJAR UNIVERSITAS ISLAM NEGERI (UIN) INDONESIA MULA PENGAJIAN SEPTEMBER INI

 

kemenag 12 jan

UUM ONLINE - Seramai 100 pelajar dari Universitas Islam Negeri (UIN) Bandung, Mataram dan Aceh akan memulakan pengajian sarjana mereka di Universiti Utara Malaysia (UUM) September ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Shahimi Mohtar berkata, majlis menandatangani perjanjian memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan UIN ini akan dimeterai pada Mei 2023 nanti yang melibatkan tiga UIN Bandung, Mataram dan Aceh.

“Dalam perbincangan hari ini dengan Direktor Jenderal Pendidikan Islam, Kementerian Agama (KEMENAG) Indonesia, Prof Dr Muhammad Ali Ramadhani memaklumkan 100 pelajar sarjana kumpulan pertama ini akan diberi biasiswa sepenuhnya oleh UIN termasuk kos pengajian, kursus bahasa inggeris, elaun, bayaran urusan visa dan sebagainya,” ujar beliau lagi.

Sementara itu Prof Dr Muhammad Ali Ramadhani yang ditemui berkata, universiti ini dipilih untuk pelajar-pelajar sarjananya menyambung pengajian kerana kedudukan UUM  dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings yang sentiasa menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

“Bagi peringkat awal ini kami akan menghantar pelajar seramai lebih kurang 100 orang yang melibatkan tiga UIN dan sekiranya menepati apa yang kami hasratkan maka 58 UIN lagi akan menyusul untuk menghantar pelajar perguruan tinggi mereka nanti,” katanya.

Pengajian sarjana ini mengambil masa dua tahun iaitu setahun di UUM dan setahun lagi di UIN.

Beliau menambah pemilihan UUM ini bukan sahaja disebabkan pencapaian cemerlang universiti ini malah faktor kemudahan prasarana, keselesaan persekitaran kampus, nilai-nilai persahabatan dan peradaban adalah sebab utama universiti ini dipilih.

Moga proses MoU dan pendaftaran pengajian sarjana kumpulan pertama ini akan membawa kejayaan dan membuka peluang untuk pengajian Doktor falsafah (PhD) pula.