All News

SESI LIBAT URUS VISA PELAJAR MANTAPKAN PROSES PERMOHONAN VISA PELAJAR ANTARABANGSA

 

lawatan emgs

Oleh: Amierul Husniey Che Rahman

Gambar oleh: CIAC dan UUMKL

UUM ONLINE: Kuala Lumpur - Unit Visa, Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) baru-baru ini telah mengadakan sesi libat urus visa pelajar bersama Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) di pejabat Education Malaysia Global Services (EMGS).

Sebelum itu, pihak CIAC telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak yang mengendalikan visa pelajar antarabangsa di UUMKL dan OYAGSB bagi mendapatkan maklum balas bagi penambahbaikan setiap proses permohonan visa pelajar sebelum dibincangkan dengan pihak EMGS.

Kedatangan delegasi UUM yang diketuai Pengurus, Corporate and Student Services CIAC, Mohd Khairy Mukhtaruddin bersama Pegawai Tadbir, Rozita Ramli dan staf CIAC serta UUMKL ke Menara TA One telah disambut oleh Pengarah Perkhidmatan Pengurusan Pelajar Antarabangsa (ISMS), Ramlan Abd Aziz dan turut disertai oleh pengurusan dan pegawai EMGS.

Perjumpaan dimulakan dengan sesi taklimat dan libat urus oleh Pengurus Kanan EMGS, Mohd Farha Md Ishak di mana beliau telah membentangkan dan berkongsi proses permohonan visa pelajar berdasarkan Student Application Registration System (STARS) EMGS.

Selain itu, isu-isu yang sering berlaku melibatkan permohonan visa pelajar turut dibincangkan bersama bagi mencari solusi yang terbaik dan mempermudahkan pihak universiti awam. UUM merupakan universiti awam pertama yang mengadakan sesi libat urus dengan pihak EMGS selepas penambahbaikan sistem STARS berkenaan.

Dalam pada itu, pihak EMGS turut memberi komitmen dengan bersedia untuk mengadakan sesi ‘town hall’ di UUM untuk menyampaikan penerangan lebih lanjut berkaitan pemprosesan visa pelajar kepada pelajar antarabangsa, pihak pusat pengajian dan pusat tanggungjawab yang berkaitan agar proses permohonan visa pelajar dapat difahami kepada semua pihak.

Di akhir bengkel, Mohd Farha menyatakan kesediaan EMGS untuk berusaha memberikan perkhidmatan yang cemerlang dalam pemprosesan visa pelajar berdasarkan sistem STARS yang telah dikemaskini dari semasa ke semasa untuk kemudahan seluruh IPT di Malaysia.