All News

‘JOM TIP PAH’ BERI KESEDARAN ISU PEMBUANGAN SAMPAH

tip pah

Oleh: Mohd Azri Abdul Aziz

Gambar CIAC/UUM Today

YAN: Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu pembuangan sampah, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) telah menjayakan Program Jom Kutip Sampah (Jom Tip Pah) di Pulau Songsong, baru-baru ini.

CIAC diwakili empat staf bersama 13 pelajar pertukaran antarabangsa, tiga pelajar UUM Global Buddies Club serta ahli Pertubuhan Generasi Peduli Sampah Malaysia (GPSM) dan penduduk sekitar Kampung Sungai Udang telah menyertai program selama sehari itu.

Pegawai Tadbir, CIAC, Mohd Azri Abdul Aziz berkata, Program Jom Tip Pah itu adalah antara usaha murni GPSM dengan kerjasama CIAC yang direncanakan untuk memberikan kesedaran dan mengajak semua rakyat untuk lebih prihatin terhadap isi-isu pembuangan sampah.

Menurutnya, kurangnya kesedaran itu akan menimbulkan masalah berkaitan alam sekitar seperti pencemaran sisa plastik yang memberi ancaman terhadap kesihatan manusia, hidupan liar dan habitatnya.  

“Program ini juga merupakan antara ‘university social responsibility‘ (USR) dalam usaha untuk memelihara alam sekitar,” katanya.

Sebelum program bermula, peserta dan sukarelawan diberikan taklimat dan Knowledge Transfer Program (KTP) oleh Pengasas GPSM, Datin Norelan Ismail tentang jenis-jenis sampah yang terdiri daripada yang boleh dikitar semula dan yang tidak boleh dikitar semula.

“Bagi sampah yang tidak boleh dikitar semula, kita boleh menggunakan sampah-sampah tersebut dengan mengubah suai ia menjadi pasu bunga, ‘eco-brick‘ dan lain-lain.

“Saya berharap semua peserta agar sentiasa menanamkan rasa tanggunggjawab terhadap alam sekitar dan memahami cara pelupusan sampah yang betul. Jika sampah-sampah dilakukan pengasingan dengan cara yang betul juga, ianya boleh memberikan hasil kepada kita. Sebagai contoh, tin dan aluminium yang diasingkan boleh dijual semula kepada pusat-pusat kitar semula,” ujar beliau.

Sepanjang program tersebut, kesemua peserta dan sukarelawan telah berjaya mengutip lebih daripada 60 kilogram sampah yang boleh dikitar semula dan tidak boleh dikitar semula. Kebanyakan sampah yang dikumpul adalah pinggan mangkuk dan cawan plastik pakai buang, tin dan botol.

Pelajar pertukaran antarabangsa dari Universiti Chuo, Jepun, Kaito Shibuya berharap agar Pulau Songsong yang indah dengan pantai yang jenih ini akan terus terpelihara. – Mohd Azri Abdul Aziz